CEGAH MUNGKAR/MAKSIAT TANGGUNGJAWAB BERSAMA

|

Assalamualaikum..

Merujuk blog Ustaz Hairul Nizam b. Mat Husin, Timbalan Ketua Hisbah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir terdapat beberapa perkara berat yang harus kita tangani bersama.
Ahlan Wasahlan buat kalian yang bakal hadir kalau masalah gejala couple yang makin menakutkan di Mesir terus dipandang sepi.

Ahlan Wasahlan buat anak-anak gampang yang tidak berdosa kiranya pihak-pihak agen yang mengaut teman-teman pelajar dari Malaysia terus membutakan mata daripada keruntuhan akhlak yang berlaku di hadapan mata kepala mereka.

Welcome buat anak-anak yang bakal lahir kiranya seluruh pihak terus tidak mengambil perduli dengan hubungan lelaki dan wanita yang tidak dibatasi Syarak.


Welcome untuk bakal anak-anak itu kiranya kita yang mengetahui kesedudukan antara pria dan dara yang tengah mengelamun cinta gila tanpa takutkan murka Allah terus membiarkan mereka gila dirasuk syaitan yang sedang ketawa.

Ya. Seakan kita semua di Mesir sedang berlatih untuk mengucapkan ucapan selamat datang itu.

Sabtu lepas, saya hampir gila dalam mesyuarat Hisbah PMRAM Pusat apabila mendengar laporan hisbah setiap peringkat bermula sekitar jam 2 petang hingga 4 petang yang rata-ratanya melaporkan berita mual gelagat mahasiswa Islam Malaysia yang menuntut ilmu di Mesir. “Pelajar perubatan lelaki perempuan berdua-duaan di dalam bilik”, “Pelajar perempuan itu berpakaian menunjukkan lurahnya”, “Pelajar itu dan kekasihnya memasuki kelab malam”, “Pelajar lelaki itu di rumahnya ada pakaian wanita”, “Pelajar itu di rumahnya ada arak” dan ……………………………

Gila. Memang gila. Mana boleh kita biarkan maksiat demi maksiat terus melampau-lampau berlaku di Mesir.

“Woi bodoh! Kau nak tuduh budak-budak yang dating dan lepas satu rumah tu berzina ke? Mana saksi kau?!!”.

Saya jawab: Aku tak kata diorang berzina, tapi kalau kita masih selamba biarkan tindakan berpeleseran jantan betina tanpa dibatasi syarak itu terus berlaku tanpa sekatan, tindakan dari semua pihak, maka kita sebenarnya sedang menanti keputusan yang sama.

Semua pihak mesti bertanggungjawab. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, agen-agen yang mengadakan program pengajian perubatan di Mesir, Hisbah PMRAM Pusat beserta hisbah-hisbah di setiap cawangan mesti buat satu tindakan segera sebelum semuanya terlambat.

Kalau budak buat maksiat tak rasa malu bahkan rasa berani untuk tekan budak-budak yang nak menegur, budak-budak hisbah PMRAM tak boleh rasa takut untuk membantu budak-budak ini agar kembali mentaati Allah yang Maha Perkasa.

.....................................................................................................................................

Gejala yang menular

1. Budaya couple dan dating yang kian melampau.
2. Pergaulan yang tidak dibatasi syarak.
3. Berdua-duaan dalam bilik.
4. Pelajar perubatan masuk kelab malam.
5. Arak di rumah pelajar.

Seruan Hisbah

1. Laporkan kepada pihak hisbah dan pihak yang sepatutnya jika melihat kemungkaran.

2. Pandang serius terhadap gejala yang menular seperti di atas.

3. Insaflah wahai pelajar sekalian, anda semua harapan agama,bangsa dan negara.

4. Jangan ambil mudah terhadap pergaulan lelaki dan wanita.

5. Fokus terhadap pelajaran, jangan terhanyut dengan igauan cinta.

6. Amalkan budaya tegur menegur.

7. Mengikuti pengajian yang mendidik jiwa dan bertemu dengan masyaikh di halaqah-halaqah
ilmu.

Jabatan Hisbah MKKK mengajak semua anak-anak Kedah di Mesir ini agar pandang serius dalam hal-hal yang berkaitan pergaulan serta hubungan mahasiswa dan mahasiswi. Semestinya kita adalah orang yang mengetahui hukum hakam dan batasan dalam agama cuma naluri dan hawa nafsu yang mengancam jiwa sekaligus membawa kepada perkara yang dilarang oleh syarak.

Cegah mungkar dan maksiat adalah tanggungjawab kita bersama. Jabatan Hisbah MKKK mengharapkan kepada semua anak-anak Kedah supaya tidak terjerumus dalam perkara mungkar. Sama-sama kita mendidik jiwa ,menjaga tata shakhsiah sebagai mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di bumi anbiyak dan bumi barakah ini.

SLOT PENERANGAN ETIKA HISBAH DI PROGRAM ILTIQA' 10

|


20 Mac 2010, Ra'su Bar, Dumyat- Majlis Kebajikan Keluarga Kedah telah menganjurkan Indhibat Takwin Al-Qiadi 2010 yang diselia penuh oleh Badan Dakwah MKKK. Pihak Jabatan Hisbah MKKK diberi satu slot untuk membentangkan panduan dan etika kepada para peserta. Pihak Jabatan Hisbah ini adalah suatu ruang untuk memberi penjelasan secara jelas mengenai hisbah dan perlaksanaannya di peringkat persatuan.




Slot ini diisi sendiri oleh Ketua Hisbah MKKK, Ustaz Abu Bakar Razak yang menggunakan microsoft power point dalam pembentangannya bagi memudahkan kepada para peserta untuk memahami dan mengamati matlamat dan tujuan penubuhan hisbah ini yang telah ditubuhkan sekian lama. Selain itu, peserta juga dibekalkan pamplet untuk simpanan dan rujukan. Semoga perbentangan etika ini memberi manfaat dan faedah kepada para peserta sekaligus bekerjasama bersama hisbah untuk menegakkan yang hak dan mencegah yang mungkar.


Pihak Jabatan Hisbah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi membuka ruangan kepada Jabatan Hisbah MKKK untuk memberikan penerangan mengenai etika hisbah. Harapan dari pihak hisbah agar penerangan dan penjelasan dari masa ke semasa memberi kesan yang mendalam khususnya buat ahli MKKK dan umumnya kepada semua mahasiswa/wi Malaysia di Mesir ini.

Etika Hisbah MKKK ( Bab 1)

|

Assalamualaikum..

BAB I : ETIKA DAN PELAKSANAAN

FASAL 1
KOD ETIKA

1. Etika dan hak yang perlu dipatuhi oleh semua ahli sebagaimana yang diperakui Majlis adalah seperti berikut;

a. Perlaksanaan etika yang termaktub, pada semua perkara secara lafaz atau maksud.

b. Jika tidak terdapat etika yang termaktub untuk dilaksanakan, AJK Tadbir atau LBM akan melaksanakan etika secara uruf. Jika tidak ada, akan dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip Syariat Islam. Jika tidak terdapat, maka pelaksanaan etika berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan.

c. Tidak boleh membatalkan mana-mana etika yang telah termaktub kecuali etika baru yang secara jelas membatalkan etika yang lama atau etika baru bercanggah dengan etika lama.

d. Sesiapa yang menggunakan haknya secara disyariatkan, maka dia tidak akan bertanggungjawab dengan segala kemudaratan yang berlaku kesan penggunaan hak tersebut.

e. Keadaan-keadaan yang dikategorikan sebagai menggunakan hak tanpa disyariatkan adalah seperti berikut;

i. Tidak diinginkan dari satu-satu perbuatan kecuali memberi mudarat kepada orang lain.
ii. Maslahat yang ingin dilaksanakan tidak terlalu ketara jika dibandingkan dengan mudarat yang tertimpa ke atas seseorang.
iii. Maslahat yang ingin dilaksanakan tidak disyariatkan.

2. Pelaksanaan etika;

a. Segala etika yang termaktub terlaksana ke atas semua ahli MKKK secara khusus dan mahasiswa/wi Malaysia Muslim di Republik Arab Mesir secara umum.

b. Jika berlaku pertembungan etika antara BKAN, setiap BKAN berhak melaksanakan etika masing-masing untuk ahli-ahlinya.

c. Jika terdapat ahli yang tidak menjadi ahli mana-mana BKAN, maka akan dilaksanakan ke atasnya etika hisbah PMRAM.

3. Bidang tugas Muhtasib

a. Kepada semua kemungkaran yang dilakukan secara zahir oleh MKKK dan ahli-ahlinya.
b. Muhtasib bertindak pada 3 perkara;
i. Penipuan dan penyelewengan
ii. Amanah dan khianat
iii. Kualiti

FASAL 2
AHLI-AHLI

1. Ahli Benar

a. Mana-mana individu yang menjadi ahli MKKK secara tetap atau bersekutu dan tidak terbatal atau dibatalkan keahlian.

b. Individu-individu yang berada di Republik Arab Mesir.

2. Ahli Anggapan

a. Individu-individu yang diproses borang keahlian mereka atau yang belum layak menjadi ahli MKKK tetapi di bawah amanah MKKK.

b. Ahli-ahli MKKK yang berada di luar Republik Arab Mesir.

c. Perkara 2(2)(a) dan 2(2)(b) ditentukan oleh AJK Tadbir MKKK.

Mahasiswi Tidak Bertudung Perkara Biasa?

|

9 Mac 2010, Haiyyu Sabiek - Unit Operasi Jabatan Hisbah MKKK menemui 2 orang mahasiswi tidak bertudung di kawasan Haiyu Sabeik. Terdapat beberapa kesalahan lain selain kesalahan yang berat di sisi Syara’. Antaranya, keluar waktu malam, tidak bermusyrif dan masuk ke tempat yang bahaya dan dilarang. Selain itu juga kedua-dua mahasiswi ini mengenakan pakaian yang ketat yang menampakkan tubuh badan. Apabila ditanya oleh pihak hisbah mereka menyatakan ini perkara biasa kerana di kuliah pun mereka tidak bertudung.

Fenomena ini amat membimbangkan kita. Gelaja tidak mengikut syariat ini harus di benteras dengan penuh serius. Tambahan kita semua adalah penuntut di tanah yang barakah dan padanya terdapat jejak-jejak para anbiya', para auliya' , para syuhada' dan ramainya ulama' hingga sekarang. Alangkah pelik jika masyarakat mengetahui bahawa penuntut Timur Tengah ataupun Mesir ini tidak mengikut perintah Allah S.W.T, apa tanggapan masyarakat terhadap kita?. Tentunya lontaran pandangan negatif dan kepercayaan masyarakat kepada penuntut Timur Tengah akan hilang walaupun yang melakukannya hanya sebilangan sahaja.

Firman Allah S.W.T Yang Bermaksud :

31. Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. ( Surah An-Nur)

Ayat Allah S.W.T di atas jelas bahawa pensyariatan untuk kaum wanita menutup aurat termasuk memaikai tudung di kepala. Jika kita perhatikan, memandang sesuatu yang haram adalah haram apatah lagi perbuatan meninggalkan perintah Allah S.W.T. Perkara ini perlu dititikberatkan oleh semua mahasiswa dan mahasiswi.

Pihak Jabatan Hisbah menyeru kepada semua mahasiswa dan mahasiswa samada pengajian islam mahupun perubatan agar bersedia menegur dan memperbetulkan keadaan yang tidak selayaknya bagi mahasiswa/wi lakukan. Adalah lebih berat jika perbuatan itu adalah sesuatu yang melanggar hukum hakam syara’.

Bersama kita berdakwah kepada kebenaran dan mencegah kepada yang mungkar demi menjaga kualiti mahasiswa/wi yang kelak akan pulang berdepan dengan masyarakat untuk menobatkan kalimah Allah Jalla Wa ‘Ala.

Sekian.

Unit Operasi,

Jabatan Hisbah ,

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

PENGENALAN JABATAN HISBAH MKKK

|

Firman Allah S.W.T :

104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya. (Ali Imran)

Hisbah MKKK berfungsi sebagai pengawas pada segala gerak kerja MKKK dan ahli-ahlinya. Semua tugas yang dilaksanakan oleh Hisbah berada di bawah maksud "Amar Makruf Nahi Mungkar". Para petugas di dalam Hisbah dipanggil sebagai Muhtasib. Secara hakikat Hisbah merupakan badan serampang dua mata iaitu menjalankan amar makruf dan nahi mungkar akan tetapi dari sudut sejarahnya, kebanyakan tugas hisbah lebih menjurus kepada mencegah mungkar. Secara logik segala kebaikan terhalang dari terlaksana berpunca dari wujudnya mungkar. Begitu juga kaedah feqah menyebut "menghilangkan kefasadan lebih diutamakan dari mendatangkan kebaikan". Maka tugas mencegah kemungkaran lebih diberi penekanan.

Pelaksanaan Hisbah ini secara praktikal berlaku sejak zaman baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan berjalan dengan lebih sistematik pada zaman Khalifah Umar Radiallahu ‘Anhu. Pada zaman beliau mereka yang menjalankan tugas Hisbah digelar Muhtasib (pengawas). Tugas Hisbah merupakan tugas yang mengundang kebencian munafik dan kecintaan Allah Taala. Gerak kerja seumpama ini perlu dilaksanakan dengan sistematik dan bijaksana agar tidak berlaku apa-apa fitnah kepada Hisbah.

Bidang kuasa Hisbah merupakan kuasa yang diberikan oleh agama bukan kuasa yang diberikan oleh sebuah kerajaan. Melaksanakannya merupakan melaksanakan perintah Allah bukan mentaati perintah pemimpin. Imam Mawardi memecahkan tugas mencegah kemungkaran kepada 3 bahagian;

1)Ibadat
2)Larangan-larangan
3)Muamalat.

Organisasi Jabatan Hisbah Majlis Kebajikan Keluarga Kedah

PENAUNG
Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM)
Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK)

PENASIHAT
Syeikh Yusoff bin Haji Ahmad
(Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah)
Ustaz Nasrul Ikman bin Naserudin
(Ketua Hisbah PMRAM)
Ustaz Nazrul bin Abd Nasir
(Pemangku Yang Dipertua MKKK)
Nadia binti Ahmad
(Naib Pengerusi HEWI MKKK)

Ketua Hisbah
Abu Bakar bin Razak

Tim. Ketua Hisbah
Ummul Khair binti Muhammad Tajuddin


Setiausaha
Aminuddin bin Abu Bakar

Unit Penerangan
Muhammad Sollehuddin bin Mohd Isa

Tim. 1 Unit Penerangan
Nasiruddin bin Sobri

Tim. 2 Unit Penerangan
Siti Hawa binti Bakar

Unit Operasi
Muhammad Fahmi bin Mat Lazim
Tim. 1 Unit Operasi
Zubair bin Mohd Shariff

Tim. 2 Unit Operasi
Nur Hasanah binti Ahmad Rifaii


Unit Tugas Khas
Ariff Idzuan bin Nordin
Farihah Zaidar binti Abd. Majid
Fatimah binti Ishak

Tema

"Bersama Mencegah Kemungkaran"

Jabatan Hisbah pada sesi ini memilih satu tema yang jelas dalam pergerakkan sebagai unit yang bertanggungjawab dalam memastikan kemungkaran di kalangan mahasiswa/wi Kedah khususnya tidak berlaku.

Dengan menzahirkan tema ini, harapan agar ianya menjadi sesuatu gelombang yang besar dan peringatan bagi kita semua agar lebih berwaspada dalam sesuatu tindakan dan pergaulan .

Semoga tema ini terus digembar-gemburkan supaya sedikit sebanyak membantu Jabatan Hisbah dalam melaksanakan tugas yang lebih khusus kepada “nahi mungkar”.
.








INSTITUSI HISBAH MENURUT KONTEKS SEMASA DI MALAYSIA

|

Institusi hisbah merupakan satu bentuk institusi yang terkenal dan pernah diamalkan semasa zaman permulaan Islam satu ketika dahulu. Institusi hisbah ini sering dikategorikan sebagai salah satu daripada aspek dalam sistem kehakiman Islam. Meskipun istilah hisbah ini mungkin jarang didengar dan digunapakai secara meluas, namun tanpa disedari pengamalannya telah pun dilaksanakan di Malaysia tanpa kita sedari.


Cuma kaedah perlaksanaannya sahaja yang mungkin berbeza sedikit berbanding ketika ianya mula diamalkan dahulu. Penulisan ini akan memberi penjelasan ringkas berkaitan konsep hisbah serta perlaksanaannya di Malaysia kini. Rujukan lebih merujuk kepada beberapa penulisan seperti Dr. Abdul Karim Zaydan [Nizam al-qada' fi al-shari`at al-Islamiyah], Yusuf al-Qardawi [Fiah Daulah] dan Mahmud Saedon Awang Othman [Institusi pentadbiran undang-undang & kehakiman Islam].

Takrifan Hisbah

Dalam meneliti takrifan hisbah, penulis akan mengungkai pentakrifannya berdasarkan kepada bahasa dan juga istilah. Dari segi bahasa, Ibn Manzur dalam kitab Lisan al-Arab memberi pengertian hisbah merupakan kata terbitan (masdar) daripada ihtisabika al-’ala Allah yang membawa maksud mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah.

Di dalam kitab ’Muhadarah Fi Nizam Al-Qada’ Fi Al-Islam menjelaskan hisbah bermakna ihtisab iaitu meneliti, mentadbir, melihat, mencegah atau menahan seperti mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran atau mendapat balasan seperti seseorang melakukan kebaikan untuk mendapat balasan daripada Allah. Takrifan ini turut digunapakai oleh Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab namun ianya turut dikaitkan dengan makna sangkaan (zan).

Dari segi istilah pula, al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan hisbah ialah melaksanakan tugas keagamaan iaitu menyeru melakukan ma’aruf (kebaikan) yang jelas jika ternyata meninggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas jika ternyata dilakukan.

Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum ad-Din berpandangan hisbah sebagai satu gambaran yang lengkap dan menyeluruh tentang perintah melakukan ma’aruf dan mencegah mungkar. Pandangan ini semua merupakan pandangan daripada ulama’ dan ilmuwan silam.

Bagi pandangan ulama’ serta ilmuwan moden pula, mereka lebih melihat hisbah sebagai satu bentuk institusi di mana perlaksanaannya adalah di bawah satu badan atau institusi tertentu.

Muhamad bin Abdul Qadir al-Mubarak sebagai contoh menyatakan hisbah ialah satu badan pengawasan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk mengawasi kegiatan individu di dalam perkara yang berkaitan dengan akhlak, agama dan ekonomi (kehidupan sosial secara umumnya) dengan tujuan mengekalkan keadilan dan kemuliaan sebagaimana yang dianjurkan oleh syariat Islam dan bersesuaian pula dengan suasana persekitaran dan masa. Pandangan ini lebih khusus berbanding pandangan ulama’ silam yang lebih umum di mana mereka tidak meletakkan perlaksanaan hisbah di bawah satu badan atau institusi.


Dalil dan Hukum Hisbah

Terdapat banyak dalil syarak sama ada daripada Al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qias dan sebagainya yang menerangkan berkaitan konsep hisbah. Antara dalil yang masyhur ialah seperti berikut:

1. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud ”Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”

2. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud ”Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik”

3. Sabda Rasullulah S.A.W yang bermaksud “Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran,hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya.Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya.Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman”(Muslim)

Terdapat banyak lagi dalil lain yang terdapat daripada Al-Quran, Hadith dan juga Ijma’ yang menyokong pensyariatan hisbah. Kesemua dalil tersebut secara jelas menunjukkan hisbah merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Persoalannya kini adakah kewajipan melaksanakan hisbah itu merupakan satu suruhan wajib aini (fardhu ain) atau sekadar wajib kifaie (fardhu kifayah)?

Jika diperhatikan berdasarkan penafsiran ayat al-Quran di dalam Surah Al-Imran ayat 104 secara jelas bahawa seruan kepada kebaikan, menyuruh melakukan ma’ruf dan mencegah mungkar ini hanya melibatkan sebahagian umat Islam sahaja.

Dengan itu, ia merupakan wajib kifaie di mana apabila dilakukan oleh seseorang atau sebahagian sahaja daripada anggota masyarakat maka gugurlah kewajipan dan dosa anggota masyarakat tersebut. Walaubagaimanapun, hukum asal wajib kifaie ini boleh bertukar kepada wajib aini berdasarkan keadaan berikut:

1. Apabila kemungkaran hanya diketahui oleh orang tertentu maka dia ketika itu wajib melakukan hisbah. Ini kerana wajib kifaie tidak akan tertegak kecuali melaluinya

2. Apabila kemungkaran itu tidak dapat dicegah kecuali oleh orang yang tertentu. Misalnya seperti sekiranya kemungkaran itu berlaku dikalangan tokoh dan pemimpin dan rakyat biasa tidak boleh mencegahnya, maka ketika itu orang yang mampu melakukan hisbah kepadanya wajib melaksanakannya.

3. Hisbah menjadi wajib aini bagi orang yan dilantik dan diberi kekuasaan oleh Allah untuk menguruskan kaum muslimin. Ini juga meliputi mereka yang telah diberi tanggungjawab oleh pemimpin negara untuk melaksanakan hisbah di kalangan masyarakat.

Jelaslah di sini bahawa walaupun hukum asal hisbah itu adalah wajib kifaie namun ianya adalah bersifat fleksibel dan boleh berubah kepada hukum lain. Kita perlu sentiasa bijak dalam menilai setiap hukum itu supaya sentiasa fleksibel dan sesuai dengan keadaan, kemampuan pelaku hisbah dan bentuk kesalahan yang dilakukan.


Sejarah Perkembangan Hisbah

Amalan hisbah telah lahir dan berkembang semenjak zaman awal kemunculan Islam itu lagi iaitu pada zaman Rasullulah S.A.W atau lebih tepat ketika tertubuhnya kerajaan Islam di Madinah. Pada waktu tersebut, gelaran untuk mereka yang menjalankan hisbah ialah petugas pasar (al-amil ala al-suq) atau penyelias pasar (sahib al-suq) yang bertanggungjawab menyelia dan mengawasi perjalanan perniagaan dan menentukan timbangan dan sukatan dalam urusniaga. Sebagai contoh, Baginda telah melantik Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di kota Mekah, sementara di kota Madinah pula beliau telah melantik Saidina Umar al-Khatab sebagai penyelianya.

Selepas kewafatan Rasullullah S.A.W tugas menjalankan hisbah ini diteruskan lagi oleh Khalifah Rasyidin. Terdapat riwayat menyatakan bahawa saidina Umar al-Khatab pernah memukul pemilik binatang yang membawa muatan yang berlebihan sehingga menyiksa binatang tersebut. Malah beliau juga mengawasi kegiatan perniagaan di pasar dan memukul penjual yang menjual di kaki lima jalan sehingga mengganggu lalulintas dan beliau juga pernah mencurahkan susu yang bercampur dengan air.

Saidina Uthman pula memberi perhatian dengan mengawasi kemudahan awam dan pasar-pasar. Manakala saidina Ali Abi Thalib pula meninjau keadaan pasar dan menasihati penjual supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah, memperelokkan urusan jual beli dan mencukupkan timbangan dan sukatan. Selain itu beliau juga membakar rumah-rumah yang menjual arak.

Ketika zaman kerajaan Umayyah, institusi hisbah semakin berkembang selaras dengan tuntutan masyarakat ketika itu dan berkembangnya jajahan takluk Islam. Tugas menjalankan hisbah ketika itu masih lagi dipegang oleh pemerintah.

Namun terdapat juga pembantu-pembantu yang dilantik bagi membantu penyeliaan pasar-pasar dan menawasi moral masyarakat. Malah pada zaman akhir pemerintahan Umayyah, panggilan muhtasib telah digunakan bagi menggantikan panggilan petugas di pasar (al-amil al-suq) atau penyelia pasar (sahib al-suq).

Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyyah pula, institusi hisbah telah diasingkan daripada institusi lain dan ini memberi ruang kepada muhtasib untuk mentadbir insitusi ini secara penuh sambil dibantu oleh pembantu yang dikenali sebagai ’arif’ dan ’amin’.

Zaman Fatimiyyah pula menyaksikan instistusi hisbah begitu ketara sekali peranannya sebagai penguatkuasa peraturan dan undang-undang. Muhtasib bukan sahaja bertanggungjawab memeriksa di pasar dan menentukan sukatan yang betul, malah juga bertugas memastikan pemandu kenderaan pengangkutan seperti kereta kuda dan keldai tidak membawa muatan berlebihan.

Muhtasib juga bertugas mengawasi akhlak masyarakat supaya sentiasa terjaga dan memastikan setiap orang berpakaian sopan. Bidang kuasa muhtasib semakin berkembang dan meluas sehingga pasukan polis dibentuk untuk melaksanakan arahan dan hukumannya.


Institusi Hisbah Dalam Konteks Semasa Malaysia

Dapat diperhatikan hasil perbincangan sebelum ini, didapati pelaksanaan hisbah itu pada zaman permulaan Islam hanyalah tertumpu kepada tanggungjawab pemerintah untuk memantau dan melakukan rondaan di pasar-pasar dan lebih melibatkan soal timbangan serta sukatan atau secara mudah hisbah hanya tertumpu kepada pengawalan daripada aspek jual beli sahaja.

Kemudian konsep hisbah telah mula berubah dengan ketara sejak kerajaan Abasiyyah dengan peranannya telah dibentuk dibawah satu institusi yang khusus. Malah bidang kuasanya telah lebih berkembang dengan tanggungjawab yang lebih besar iaitu untuk menegakkan undang-undang dan memelihara moral rakyat.

Oleh sebab keadaan masa dan suasana telah berubah, negara Islam umumnya tidak lagi menggunakan istilah muhtasib atau hisbah bagi institusi yang ditugaskan untuk memastikan rakyat mematuhi peraturan dan undang-undang, tetapi mereka mula menggunakan istilah seperti shurtah atau polis.

Di Malaysia, meskipun istilah hisbah tidak digunapakai, namun dari segi perlaksanaannya sudahpun menepati konsep sebenar hisbah itu sendiri. Pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan memelihara keamanan di Malaysia ialah Polis di-Raja Malaysia. Ianya melibatkan segala yang terkandung di bawah peruntukan yang digubal oleh Parlimen seperti yang terdapat di dalam Kanun Keseksaan.

Peranan pihak polis adalah melibatkan di peringkat persekutuan. Di peringkat negeri pula ia dijalankan oleh Jabatan Agama Islam di setiap negeri. Setiap Jabatan Agama pula menubuhkan bahagian penguatkuasaan yang berbidangkuasa melaksanakan tugas berdasarkan Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri. Dalam melaksanakan tugas ini ia menjadi tanggungjawab Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri (PPA) yang dilantik oleh pihak pemerintah negeri.

Di samping itu, jika ketika zaman permulaan Islam lebih menumpukan hisbah dalam bentuk kawalan semasa proses jual beli, di Malaysia turut terdapat perundangan dan kawalan sedemikian di bawah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.

Ini merupakan sebahagian sahaja contoh kawalan yang dilaksanakan oleh pemerintah bagi menjaga dan memelihara kemaslahatan rakyat. Walauapapun bentuk pengawalan yang cuba dilaksanakan pihak pemerintah, selagi ianya bertujuan untuk mencegah kemungkaran dan menegakkan ma’ruf, maka ianya boleh dianggap sebagai hisbah.

Jelas, di Malaysia institusi hisbah sudahpun terlaksana meskipun ianya tidak menggunakan istilah hisbah secara khusus. Malah konsep hisbah telah berjaya dipraktikkan oleh kerajaan di Malaysia dengan penubuhan institusi-institusi yang khusus dalam menjaga dan memelihara kepentingan rakyat. Malah setiap institusi tersebut dibahagikan bidangkuasanya supaya lebih mudah dan praktikal dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Jika diteliti hasil penjelasan penulis sebelum ini, dapat dilihat bahawa daripada segi takrifan hisbah itu sendiri kita dapati terdapat perbezaan yang ketara. Ini dapat dilihat daripada dua pandangan yang berbeza iaitu antara ilmuwan silam dan juga ilmuwan moden. Ilmuwan silam lebih umum mentakrifannya berkaitan hisbah dengan melihat sesiapa sahaja perlu melaksanakan tugas hisbah.

Manakala bagi ilmuwan moden pula lebih melihat hisbah dalam konteks yang lebih khusus dengan ’menginstitusikan’ hisbah itu di bawah bidang kuasa sesebuah badan atau institusi yang ditubuhkan khusus oleh badan pemerintah sebagai penggerak hisbah.

Pada pandangan penulis kedua-dua pendekatan ini perlu diterima pakai meskipun kita kini berada di zaman yang moden. Tidak semestinya zaman moden hanya boleh menerima pakai takrifan pandangan ilmuwan moden sahaja.

Malah jika pandangan ilmuwan silam juga mempunyai maslahah yang tertentu untuk dilaksanakan, maka ia wajar diterima juga. Jika kita hanya menerima pakai takrifan ilmuwan moden yang mengatakan hisbah hanya melibatkan tanggungjawab institusi tertentu yang ditugaskan melaksanakannya, maka ianya tidak menepati konsep sebenar hisbah pada asalnya iaitu ianya juga perlu melibatkan tanggungjawab individu muslim itu sendiri.

Maka dalam hal ini, pendekatan ilmuwan silam yang melihat hisbah dengan lebih umum boleh diterima pakai. Setiap perbezaan dalam takrifan ini adalah penting untuk membentuk kaedah serta acuan kita sendiri dalam melaksanakan konsep hisbah itu sendiri agar bertepatan dengan konsep Amar Makruf Nahi Munkar.


Mohamad Syafiqe Abdul Rahim
Presiden Lajnah,
Jabatan Syariah & Undang-Undang
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
SUMBER : http://www.fiqhmalaysia.com

 

©2009 Jabatan Hisbah MKKK | Template Blue by TNB